Subzon Kota Kinabalu – Konsert Muzik Rohani : 10 Jun 2023
Jun 23, 2024 Off By adminSyukur kepada Tuhan! Berikutan dengan Konsert Kesyukuran Ulang Tahun Penginjilan Ke-100 seluruh dunia pada tahun 2017, Gereja Yesus Benar Subzon Kota Kinabalu telah mengadakan Konsert Musik Rohani di auditorium Menara Tun Mustapha (dahulu dikenali sebagai Bangunan Yayasan Sabah) pada 10 Jun (Sabtu) tahun ini, jam 7 malam.
Ini merupakan Kebaktian Penginijilan melalui Kidung secara terbuka kali kedua yang diadakan menerusi bergabung tenaga bersama 17 buah gereja dan khemah doa dalam subzon Kota Kinabalu, dengan tema “Hidup Dalam Segala Kelimpahan”.
Syukur kepada Tuhan, semua gereja dalam subzon ini bekerjasama dalam pelbagai aspek termasuk kewangan dan tenaga manusia untuk melaksanakan kerja suci ini. Semua orang telah memberikan respon yang sangat positif, bekerjasama, giat dalam membuat persiapan, serta mengamalkan semangat melayani Tuhan secara berpasukan, supaya kerja-kerja dapat dilaksanakan dengan lancar.
Untuk memastikan kerja suci ini dapat dijalankan dengan lebih baik, Ahli Jawatankuasa penganjur telah menjadualkan tiga kali sesi raptai. Raptai pertama diadakan di dewan serba guna Gereja Kota Kinabalu, manakala raptai kedua dan ketiga telah diadakan di auditorium Menara Tun Mustapha. Tujuan utama raptai adalah untuk memastikan konsert muzik rohani dapat berjalan dengan lebih lancar, dan mencapai kesan yang lebih baik. Oleh itu, semua kumpulan koir dan orkestra perlu membuat lat ihan pra-program untuk memastikan keharmonian dalam vokal dan rentak, serta menunjukkan prestasi yang dikehendaki semasa persembahan. Dengan tujuan supaya kawalan masa persembahan menjadi lebih berkesan dan mereka dapat membiasakan diri dengan aliran program pada malam tersebut.
Pada hari raptai, disebabkan jumlah ahli kumpulan koir adalah sangat ramai, oleh itu tempat duduk mereka ditetapkan berdasarkan urutan persembahan. Ahli-ahli orkestra yang terlibat pada kali ini terdiri daripada murid dan orang dewasa dari gereja-gereja di subzon Kota Kinabalu. Walaupun alat-alat muzik persembahan adalah terhad, hanya termasuk piano, celo, violin, alat tiupan kayu dan keyboard elektronik, namun sudah mencukupi untuk menyokong persembahan koir.
Dialog menerusi not-not muzik antara koir dan orkestra mencipta muzik yang sungguh harmoni dan merdu.
Selain daripada ahli koir dan orkestra yang membuat persembahan di pentas, kerja-kerja belakang tabir juga sangat penting. Mereka menjalankan laporan urutan persembahan, ujian audio, ujian pencahayaan, penyesuaian pencahayaan dan dekorasi. Sungguh, projek Konsert Muzik Rohani kali ini amatlah besar.
Semua koir dari subzon Kota Kinabalu turut serta dalam konsert kali ini, termasuk Koir Elim, Koir Hosana, Koir Persahabatan Kota Kinabalu, Koir Betlehem, Koir Bakung, Koir Sharon, Koir Galilea, Koir Emmanuel, Koir Pangasaan, Koir Grace, Koir Papar, Koir Zion, Koir Labuan, Koir Donggongon, Koir Asaf, dan Koir Penampang. Secara keseluruhan, terdapat 5 kumpulan koir, di mana setiap 3 hingga 4 koir bergabung membentuk satu kumpulan. Setiap kumpulan koir hanya mempersembahkan dua buah kidung.
Akhir sekali, kesemua kumpulan koir bersatu mempersembahkan kidung "True Jesus Church" yang digubah oleh pemercaya gereja benar. Selain itu, terdapat juga kumpulan koir kuartet saudara yang datang jauh dari LuZhou, Taiwan untuk turut membantu konsert kali ini, ini menambahkan seri muzik kepada program tersebut.
Berikut adalah susunan program pada malam tersebut:
Pada jam 6.30 malam, walaupun hujan renyai-renyai pada awalnya, dan dirisaukan hujan yang lebih lebat akan turun pada malam tersebut, namun para undangan tetap datang secara beransur-ansur. Syukur puji Tuhan! tidak lama kemudian cuaca kembali cerah, sesungguhnya TUHAN menyediakan! (Jehovah-jireh) Tuhan menyediakan waktu yang indah.
Pada jam 7.00 malam, Konsert Muzik Rohani bermula dengan penyampaian video kepada para hadirin, yang memperkenalkan sejarah penubuhan Gereja Yesus Benar di Sabah, sepuluh dasar kepercayaan gereja, dan gereja-gereja tempatan Gereja Yesus Benar yang berada di subzon Kota Kinabalu. Semakin ramai tamu undangan yang tiba, mereka disambut dan diberikan risalah, cenderahati, didaftarkan serta dibimbing ke tempat duduk oleh unit penyambut tetamu.
Pada jam 7.30 malam, Saudara Chung Zheng Ning, selaku juruacara dan rakan sekerja penterjemah, Saudara Lionel Han Chuen Kwang membuka acara konsert malam tersebut dengan ucapan pembukaan. Pendeta Boaz Wong memimpin semua hadirin untuk berdiri dan berdoa dalam bahasa akal, mengucap syukur kepada Tuhan atas pimpinan-Nya yang membolehkan konsert muzik rohani ini diadakan dengan lancar, juga memohon agar Tuhan memimpin Kebaktian Penginjilan secara terbuka ini dapat berjalan dengan lancar, serta memohon agar Roh Kudus bekerja dan membuka pintu hati pencari firman, supaya anugerah keselamatan Tuhan dan hidup dalam segala kelimpahan dapat dikongsikan melalui mesej yang disampaikan dari kidung yang dinyanyikan.
Persembahan kumpulan koir pertama adalah terdiri daripada gabungan koir Bethlehem, Bakung, Sharon, dan Galilea. Mereka mempersembahkan dua buah kidung yang berjudul "Though Your Sins Be As Scarlet" dan "Anugerah Di Salib-Nya". Kumpulan koir menyampaikan mesej tentang pengorbanan Yesus di kayu salib untuk menghapus dosa manusia. Walaupun manusia hidup dalam dosa, tetapi Yesus telah mengorbankan diri-Nya di kayu salib demi kita, mengalirkan darah-Nya yang berharga untuk menyucikan dosa kita. Darah-Nya yang dialirkan itu membersihkan dosa kita yang merah seperti kirmizi, menjadikan kita diputihkan seperti salju. Betapa besar dan indahnya anugerah keselamatan
Tuhan!
Seterusnya, kumpulan koir hasil gabungan koir Zion dan Labuan mempersembahkan kidung yang berjudul "Can It Be?" dan "Tuhan Serta", yang menceritakan betapa ajaibnya anugerah dan kasih besar Tuhan, kidung juga menyampaikan mesej bahawa Gereja Yesus Benar adalah gereja yang disertai oleh Tuhan dan Roh Kudus. Dengan penyertaan Anugerah Tuhan Yesus, kita akan memperoleh damai sejahtera dan kesukacitaan yang benar.
Kemudian, kumpulan koir hasil gabungan koir Elim, Hosana, dan Persahabatan Kota Kinabalu mempersembahkan dua buah kidung yang berjudul "He Hideth My Soul" dan "Be Still, My Soul". Kidung-kidung ini menyampaikan bahawa Tuhan Yesus berjanji untuk memberikan Roh Kudus yang berharga kepada kita, yang akan diberikan oleh Tuhan kepada setiap orang yang memohon kepada-Nya. Roh Kudus membuatkan kita rasa damai sejahtera dan sukacita, umpama disembunyikan oleh Tuhan di dalam gunung batu, dan mendapat tempat berteduh di tanah yang kering.
Selanjutnya adalah khutbah ringkas, disampaikan oleh Pendeta James Yapp dan diterjemahkan oleh Saudara Alex Lo Shen En, dengan tema "Hidup Dalam Segala Kelimpahan”, yang memperkenalkan Tuhan Yesus sebagai Tuhan kehidupan, Dia telah mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, supaya kita dapat hidup dalam segala kelimpahan. Pendeta juga menyampaikan bahawa untuk mendapat hidup yang berkelimpahan, kita haruslah mengenali dan percaya kepada Tuhan Yesus Kristus terlebih dahulu. Kemudian, kita perlu menerima pembaptisan agar dosa dapat diampuni.
Seterusnya, kita perlu menerima Roh Kudus agar dapat masuk ke dalam Kerajaan Syurga dan memperoleh hidup kekal.
Syukur kepada Tuhan, khutbah ringkas sekitar 30 minit ini telah membangunkan para pendengar.
Seterusnya adalah persembahan kidung oleh kumpulan koir hasil gabungan Koir Emmanuel, Pengasaan, Grace, dan Papar dengan judul "Dengar Suara-Nya" dan "Kasih Karunia Yang Menghairankan". Kidung-kidung ini menceritakan bahawa hendaklah kita mendengar suara Tuhan, iaitu firman kehidupan Tuhan, supaya nama Tuhan dapat dimuliakan.
Pada masa yang sama, juga menyampaikan bahawa anugerah keselamatan Tuhan yang ajaib adalah pemberian daripada Bapa di Syurga, yang akan menyelamatkan kita dari kesengsaraan dosa dan kegelapan.
Program diikuti dengan koir kuartet saudara, dari Gereja LuZhou, Taiwan, yang membawakan empat kidung, iaitu "Memuliakan Tuhan sebagai Raja", "Apa yang Dapat Kuberi Untuk Dapatkan Hidup", "Roti Para Malaikat", dan "Kuat Dengan Bersandarkan Tuhan". Kidung yang paling istimewa daripada keempat-empat buah kidung tersebut adalah "Roti Para Malaikat" yang dinyanyikan dalam Bahasa Latin. Kidung-kidung ini memberitahu bahawa Tuhan Yesus adalah Raja Surgawi, dan apa gunanya seorang memperoleh seluruh dunia tetapi kehilangan nyawanya?
Dan apakah yang dapat diberikannya sebagai ganti nyawanya?
Hendaklah Kita menjadi kuat dalam segala hal dengan bersandarkan Tuhan, Dia dapat memberikan kita kekuatan hidup.
Kemudian, kumpulan koir hasil gabungan Koir Penampang, Asaf, dan Donggongon mempersembahkan kidung "God of Heaven", dan kidung "Pathway of Hope" yang dipersembahkan bersama dengan orkestra, yang menyatakan bahawa Allah Kerajaan Sorga adalah Allah Benar yang esa, Dia telah mencurahkan anugerah keselamatan kepada kita dan janji-Nya pasti tidak akan menjadi kosong. Ini mendorong orang yang belum percaya untuk datang mencari Allah yang benar dan mencari jalan pengharapan ini.
Sebelum kebaktian penginjilan tamat, kumpulan-kumpulan koir beratur di antara pentas dan tetamu serta kedua-dua belah lorong laluan, untuk mempersembahkan sebuah kidung gabungan yang berjudul “True Jesus Church” hasil gubahan seiman kita, yang telah membawa suasana konsert muzik kepada kemuncaknya. Pada masa yang sama juga menyampaikan bahawa Gereja Yesus Benar adalah satu-satunya gereja yang diselamatkan. Setelah Pendeta Boaz Wong memimpin doa dalam bahasa Roh dan mengadakan pemberkatan, kumpulan-kumpulan koir dan orkestra sekali lagi mempersembahkan kidung “Shalom” untuk mengucapkan selamat tinggal kepada para undangan, melukiskan tanda nokta bagi kebaktian penginjilan melalui kidung pada malam tersebut.
Syukur kepada Tuhan! Konsert muzik rohani adalah suatu kebaktian kudus yang bermakna dan penting; melalui kebaktian penginjilan kidung ini, lebih ramai orang dibawa kepada Tuhan. Dengan kuasa dan kekuatan besar Tuhan, tindakan proaktif para pemercaya dan kerjasama yang sebulat hati, barulah kita dapat menyelesaikan kerja suci ini dengan lancar.
Kiranya segala puji-pujian dan kemuliaan menjadi empunya Allah di Syurga, Amin!