GEREJA KAMI DI SABAH

Gereja Yesus Benar telah diasaskan oleh Roh Kudus hujan akhir pada tahun 1917 di Beijing, China. Injil berkembang dengan pesat, dan kemudian tersebar ke Asia Tenggara pada tahun 1926. Benih injil pertama telah ditaburkan di Sandakan, Sabah (pada masa itu dikenali sebagai Borneo Utara) pada tahun 1927.

Penyebaran Injil Melalui Senaskah “Majalah Roh Kudus”

Injil telah disebarkan ke Sabah (nama asal Borneo Utara) melalui “Majalah Roh Kudus” yang diterbitkan oleh Ibu Gereja Yesus Benar di Nanking, China yang dikirimkan oleh Dn. John Voon dari Gereja Singapura kepada seorang kawannya, En. Tsen En Fook di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) pada awal 1926. En. Tsen adalah seorang pemimpin masyarakat pada waktu itu, yang sibuk dengan perniagaannya dan tidak mempunyai masa untuk mengkaji majalah tersebut. Maka, dia mengirimkan majalah itu kepada seorang kawannya, En. Lee Siak Lin, pemercaya Gereja “Seventh Day Adventists” (SDA) dengan tulisan nota “Sebuah Gereja Benar telah muncul”. Setelah dibacanya “Majalah Roh Kudus” itu dan mendapati kebenaran Alkitab yang terkandung dalamnya, Lee Siak Lin telah terharu dan hasrat untuk mencarikan kebenaran telah membara dalam hatinya.

 

Perjalanan Pencarian Kebenaran

Lee menaiki kapal laut berangkat ke Singapura pada hari pertama Tahun Baru Cina tahun 1927 untuk mencarikan Gereja Yesus Benar di sana. Semasa dia cuba menjejaki Gereja Yesus Benar, dia terserempak dengan seorang lelaki dan bertanya kepadanya mengenai lokasi Gereja Yesus Benar .Tidak tersangkah, orang itulah Dn. John Voon, dan telah membawa dia ke Gereja Yesus Benar. Setelah mengkaji kebenaran untuk suatu jangka waktu, Lee menerima baptisan air pada 11 Januari 1927. Selepas tiga hari, dia menerima Roh Kudus. Atas pertimbangan dan persetujuan, mereka Pnt. Tan Chien Sing, Dn. John Voon, dan beberapa orang telah berangkat bersama Lee ke Sandakan untuk menyebarkan injil di sana.

 

Penubuhan Gereja Pertama

Gereja Yesus Benar pertama telah ditubuhkan di Sandakan pada tahun 1927. Sebelum Pnt. Tan dan Dn. Voon meninggalkan Sandakan, mereka mengurapi dua orang saudara, seorang saudari sebagai diaken dan diakenis, iaitu Dn. Mark Chin, Dn. Philemon Ho dan Dns. Phoebe Kong, dan Saudara Lee Siak Lin dilantik sebagai Setiausaha untuk menguruskan hal-ehwal gereja.

Pada waktu itu, ibu gereja berada di Nanking. Maka, gereja-gereja di sini digelar sebagai “Lembaga Cawangan Borneo Utara”, dan Gereja Sandakan sebagai pusat koordinasi. Dr. Philip Tyan telah dihantar buat kali pertama sebagai wakil untuk menghadiri “Persidangan Perwakilan Ibu Gereja” yang diadakan di Shanghai pada tahun 1932.

 

Penyebaran Injil Kepada Kaum Bumiputera

Selepas pentahbisan Gereja Tuaran pada tahun 1936, kebenaran telah disebarkan kepada kaum bumiputera di Wangkod melalui benih pertama yang beriman murni, Saudari Lumbihan Gimpit. Maka, gereja pertama untuk suku kaum Dusun telah didirikan. Seorang saudara yang beriman, kemudian juga telah diurapi sebagai Dn. James untuk menggembalakan gereja dan pada waktu yang sama mendirikan beberapa tempat kebaktian yang diikuti dengan pembangunan gereja-gereja.

Pada awal tahun 1958, seorang berbangsa Murut, yang bernama Sahoh telah jatuh sakit tenat. Secara kebetulan, Dn. Philip Tyan sedang menyebarkan injil di sekitar kawasan pedalaman berdekatan. Dia menyampaikan injil kepadanya dan selepas berdoa, ditumpangkan tangan ke atasnya. Pemuntahan darahnya diberhentikan dan selepas beberapa hari, dia disembuhkan sepenuhnya. Maka, sebuah khemah doa telah didirikan dan anugerah Tuhan telah dicurahkan kepada kampung tersebut dengan tanda-tanda mujizat. Bilangan pemercaya makin bertambah. Dengan bantuan daripada lebih kurang sepuluh orang saudara, yang dipimpin oleh Dn. Thomas Chew dari Gereja Sungei Paal, bangunan Gereja Sungei Apih disiapkan dan ditahbiskan kepada Tuhan pada 17 April 1961. Inilah gereja Murut pertama yang didirikan. Penyebaran injil terus berkembang dan banyak gereja dan khemah doa masyarakat Murut turut didirikan.