Gereja Tenom – Kebaktian Kebangunan Rohani dan Kebaktian Penginjilan Melalui Kidung : 14 – 16 April 2023
Jun 23, 2024 Off By adminSyukur atas kasih karunia dan pimpinan Tuhan, Kebaktian Kebangunan Rohani di Gereja Tenom tahun 2023 telah berjalan dengan lancar pada tarikh dan masa yang ditentukan iaitu pada 14 hingga 16 April.
Ini merupakan kali pertama Kebaktian Kebangunan Rohani diadakan seperti sebelum penularan wabak Covid. Syukur kepada Tuhan, banyak hamba Tuhan yang diutus untuk membantu dalam kerja Kebaktian Kebangunan Rohani selama dua hari dan dua malam. Antaranya termasuk Pendeta Ho Shun Hui yang diutus oleh Ibu Gereja Taiwan. Tujuan kedatangan Pendeta Ho juga adalah untuk membantu dalam kerja-kerja pelayanan gereja-gereja lain di Sabah.
Tujuan Kebaktian Penginjilan adalah untuk menyampaikan injil kepada khalayak ramai, membawa pencari injil untuk datang mendengar khotbah, menjadi percaya dan menerima kebaikan injil. Manakala Kebaktian Kebangunan Rohani adalah bertujuan untuk menyemarakkan iman di kalangan jemaat, membangunkan kerohanian, meluaskan dan memperkukuh dasar iman kepercayaan mereka. Melalui kebenaran, dasar iman kepercayaan dapat dikukuhkan agar
terus bertumbuh ke atas dan berakar ke bawah. Pewarisan iman kepercayaan ke generasi yang seterusnya dapat memupuk generasi yang taat agar kerja penginjilan di gereja akan berterusan.
Terdapat 28 orang simbaptisan yang menyertai malam pertama Kebaktian Penginjilan.
Semasa doa sebelum kebaktian berakhir, seorang gadis mendapat suatu penglihatan. Dia mengatakan bahawa ketika dia sedang berdoa, terdapat satu cahaya yang tersilau ke arahnya dan menyelubunginya. Pengalaman ini membuat hatinya terharu dan menitiskan air mata. Pada malam tersebut lebih daripada 200 orang yang hadir, termasuklah jemaat gereja tempatan, jemaat dari gereja berhampiran dan pelajar dari sebuah sekolah menengah yang berdekatan.
Pendeta Ho Shun Hui dengan topik “Damaikanlah Hati Anda dalam Tuhan” menerangkan dengan jelas bagaimana untuk menemukan kedamaian di dalam Tuhan kepada para hadirin.
Malam hari Sabtu ialah Kebaktian Penginjilan Melalui Kidung. Syukur kepada Tuhan, selain daripada koir belia dan koir persahabatan, terdapat juga 3 kumpulan koir lain yang datang untuk mempersembahkan kidung, iaitu kumpulan koir bumiputera dari Subzon Tenom dan Subzon Kemabong. Dari permulaan sehingga akhir Kebaktian Penginjilan Kidung,
pengacara kebaktian menerangkan kepada para hadirin tentang keselamatan Tuhan yang besar, penebusan darah-Nya demi menyelamatkan umat manusia; kasih karunia Tuhan adalah mencukupi, Tuhan mengambil berat tentang
keperluan kita dan memanggil kita datang kepada-Nya. Hidup di dunia ini adalah singkat, dan hanya syurga ialah matlamat terakhir kepercayaan kita.
Pada malam tersebut, lebih daripada 450 orang yang hadir serta memenuhi aula gereja.
Pendeta Lemuel Leong telah menyampaikan khotbah yang singkat bertopik “Mahkota Kehidupan”. Khotbah tersebut menjelaskan bahawa mahkota yang paling berharga di dunia ini pun tidak akan kekal selama-lamanya, dan pemilik mahkota itu juga tidak akan hidup lama di dunia. Hanya dengan memperoleh mahkota kehidupan dan mendapat ganjaran untuk memasuki kerajaan syurga adalah keuntungan yang paling besar.
Pendeta Ho Shun Hui juga telah mengongsi kesaksian tentang kasih dan belas kasihan Tuhan kita yang Maha Kuasa dalam membantu mengatasi krisis dalam kehidupan iman kepercayaannya.
Kira-kira dalam satu jam Kebaktian Penginjilan, Gabungan Koir Sinai telah mempersembahkan “Anugerah yang Sempurna” dan “Sandaran Harapan yang Teguh” sebagai pengakhiran kebaktian.
Syukur kepada Tuhan! Seorang saudari dari Gereja Sungai Apih telah menerima roh kudus yang berharga dalam sesi doa sebelum kebaktian berakhir.
Dalam kehidupan kepercayaan, ramai jemaat yang telah mengalami kasih karunia Tuhan, dalam bentuk kedamaian, penderitaan ataupun penganiayaan. Kesaksian yang dikongsi dalam Kebaktian Kebangunan Rohani bertujuan untuk
jemaat menceritakan pengalaman dalam iman dan berkat yang diterima dalam kehidupan mereka serta kesaksian tentang kasih karunia yang besar dari Tuhan.
Dengan rahmat, kasih karunia dan pimpinan Tuhan, kesaksian pada kali ini dikongsi oleh Saudara Jamil dari Gereja
Sungai Apih, tentang berkat yang dialami ketika isterinya berada di ambang kematian. Seterusnya Saudari Jubilin yang merupakan Puan Diaken Epenetus dari Gereja Labut telah memberi kesaksian tentang pengalaman yang dialami oleh
mereka bertiga pada waktu tersebut. Walaupun kesaksian yang dikongsi oleh kedua-dua jemaat ialah pengalaman yang sama, tetapi mereka telah mengongsi tentang mukjizat dan kasih karunia Tuhan yang luar biasa dari sudut dan pandangan yang berbeza.
Saudara Jamil menceritakan bahawa isterinya, Saudari Hilda berasa tidak sihat, pucat, badannya sejuk dan hilang kesedaran selepas rombongan lawatan pada 9 April, hari Khamis. Dalam perjalanan ke hospital, Puan Diaken Epenetus yang sedang memeluknya menangisdan berdoa kepada Tuhan agar Tuhan menunjukkan belas kasihan dan terus memberi kehidupan kepada saudari tersebut. Ini disebabkan Puan Diaken tidak dapat merasa denyutan nadi Saudari Hilda, degupan jantungnya hilang, lidahnya menjadi pitam dan matanya menjadi putih. Perjalanan ke hospital mengambil masa selama 30 minit, ketika mereka sampai di sekitar Kota Danau, Puan Diaken ternampak jari Saudari Hilda tergerak-gerak. Dalam bilik kecemasan, tekanan darah Saudari Hilda ialah 220/180, detak jantungnya 103, dan bunyi alat pengukur yang berbunyi menunjukkan keadaannya tidak normal. Doktor mengatakan bahawa keadaan Saudari Hilda amat serius dan membimbangkan, jika keadaannya menjadi serius perlu segera dihantar ke hospital yang lebih besar di kawasan pedalaman untuk pemeriksaan dan rawatan.
Pada waktu itu, gereja telah meminta bantu doa dalam kumpulan yang terdiri daripada jemaat gereja.
Syukur kepada Tuhan! Dengan kasih karunia dan belas kasihan Tuhan yang besar, selepas Saudari Hilda diperiksa oleh doktor, tidak didapati tanda-tanda strok, perdarahan otak atau penyakit-penyakit lain yang dijangkakan oleh doktor. Dalam pengalaman ini jelas terlihat campur tangan dan bantuan Tuhan. Ahli keluarganya bergantung pada iman kepercayaan, kasih dari jemaat serta doa gereja dan jemaat yang bersungguh-sungguh. Melalui perkongsian ini kita tahu tentang kekuatan doa, bahawa Tuhan ialah Tuhan yang mendengar doa kita dan kita boleh sentiasa bersandar kepada Tuhan.
Sebelum berakhirnya Kebaktian Kebangunan Rohani, Sakramen Perjamuan Kudus telah dijalankan, dan terdapat 72 orang yang menerima Perjamuan Kudus.
Segala kemuliaan diberikan kepada nama-Nya yang kudus, dari saat ini sampai selama-lamanya, Amin!
Persembahan Koir Gereja Danau
Koir Hawila
Khutbah Ringkas “Mahkota Kehidupan”
Perkongsian oleh Pendeta Ho Shun Hui “Damaikanlah Hati Anda dalam Tuhan”
Kesaksian oleh Saudara Jamil tentang kasih karunia Tuhan yang besar
Sebelum berakhirnya kebaktian, Penatua Yakobus Wong memberikan berkat kepada jemaat