Gereja Labuan – Kebaktian Kebangunan Rohani : 21 – 23 April 2023
Jun 23, 2024 Off By adminSyukur puji Tuhan! Atas kasih, pimpinan dan berkat Tuhan, Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) dan Penginjilan Gereja Yesus Benar (Labuan) pada 21 April (Jumaat) sehingga 23 April 2023 (Ahad) telah berjalan dengan lancar.
Tema KKR Gereja Labuan pada tahun 2023 ialah “Tuhan Menghapuskan Kekhuatiranmu”.
Beberapa orang pekerja suci yang diutus oleh Ibu Gereja untuk membantu KKR Gereja Labuan termasuklah Pendeta Hagai Tang, Pendeta Zakaria dan Pendeta Isaac Chong. Diaken Yadon (Gereja Menunggang) dan Diaken Onesiforus (Gereja Putatan) juga turut membantu dalam pelaksanaan Sakramen Pembaptisan.
Sepanjang KKR Gereja Labuan dijalankan, seramai 10 jiwa telah menerima Sakramen Pembaptisan, iaitu 5 orang dewasa dan 5 orang kanak-kanak termasuk seorang bayi.
Manakala penerima Roh Kudus pada KKR tersebut seramai 4 orang, dan jumlah keseluruhan seiman yang menerima perjamuan kudus adalah seramai 214 orang.
Syukur puji Tuhan kerana Kebaktian Penginjilan Melalui Kidung juga telah berjalan dengan lancar pada 22 April 2023 (Sabtu). Pada malam penginjilan tersebut, Pendeta Hagai Tang telah menyampaikan khutbah ringkas yang bertajuk “Tuhan Menghapuskan Kekhuatiranmu”.
Penginjilan ini turut dibantu oleh Koir Asaf dari Gereja Putatan, Sabah. Sebanyak 4 orang pencari Injil (berdasarkan jumlah yang berdaftar) telah menghadiri kebaktian ini melalui jemputan rakan-rakan seiman, keluarga dan ekad jemputan gereja.
Semoga Gereja Labuan lebih giat lagi mengerjakan amanat Tuhan dalam aktiviti penginjilan pada masa akan datang.
Segala kemuliaan, kehormatan dan pujian diberikan kepada Tuhan Yesus, Juruselamat tunggal manusia. Haleluya!
Suasana ketika Sakramen Pembaptisan
Sakramen Perjamuan Kudus
Gabungan Koir Labuan dan Koir Asaf
Koir Kanak-kanak Gereja Labuan