Gereja Somodon – Aktiviti Unit Pendidikan Agama (UPA) : 19 Julai 2023
Jun 23, 2024 Off By adminPuji Tuhan! Isu pandemik covid-19 beransur senyap dalam bualan berita sejak akhir-akhir ini.
Maka, peluang ini diisi dengan aktiviti yang berfaedah oleh unit aktiviti luar, UPA Gereja Somodon. Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ialah perkhemahan di sekitar gereja dan mendaki bukit di sekitar Tamparuli, Tuaran dan Sepanggar.
Aktiviti-aktiviti ini merupakan kerjasama antara unit Barzilai dan UPA. Aktiviti-aktiviti luar ini diselaraskan oleh saudari Martinah George dan dibantu oleh ibu bapa dan guru-guru. Penglibatan aktiviti seperti ini dapat mengeratkan hubungan sosial dan kekeluargaan di dalam Tuhan.
Di samping itu, aktiviti ini dapat melatih fizikal dan mental murid-murid serta meningkatkan keseronokan sepanjang aktiviti dilaksanakan. Tambahan pula, aktiviti-aktiviti ini dapat mengisi masa lapang murid-murid dengan perkara-perkara yang berfaedah daripada terlalu kerap bermain gadget.
Pastinya, setelah melihat keindahan sekeliling, para peserta dapat merasa bersyukur terhadap ciptaan Tuhan.
Antara tempat-tempat yang dikunjungi ialah Bukit Bonduk, Bukit Janggut dan Bukit Perahu.
Setelah selesai mendaki bukit, murid-murid dapat menjamu selera dengan makanan yang disediakan secara potluck. Murid-murid sangat bertuah kerana adanya bantuan kenderaan Saudara Donny Ki yang memudahkan urusan pengangkutan. Tidak dapat dinafikan bahawa kos perbelanjaan dan komitmen yang tinggi diperlukan untuk menjayakan sesuatu aktiviti, namun itu tidak menjadi penghalang kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti ini kerana di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Kiranya aktiviti-aktiviti yang berimpak tinggi dan menyeronokkan ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, semoga aktiviti-aktiviti sebegini dapat dipelbagaikan seperti mengadakan lawatan ke gereja-gereja di setiap
subzon, malah ke seluruh Sabah.
Kiranya Tuhan memberkati dan menyertai anak-anak serta guru-guru sekalian. Imanuel.