Gereja Sungai Apih- Pengurapan Diaken : 04 Mac 2023

Jun 23, 2024 Off By admin

Syukur puji Tuhan atas pimpinan dan karunia Tuhan. Pihak Ibu Gereja telah melaksanakan pengurapan diaken pada 4 Mac 2023, bertempat di Gereja Sungai Apih, bermula pada jam 10:00 pagi hingga jam 12:00 tengah hari yang berjalan dengan lancar sempena Kebaktian Kebangunan Rohani (KKR) Gereja Sungai Apih. Upacara pengurapan ini juga dibantu oleh Jabatan Kudus Zon Pedalaman dengan kehadiran para pendeta dan diaken dalam upacara ini.

Upacara Pengurapan Diaken dipimpin oleh Diaken Refaya Insai dengan nyanyian kidung 290 dan doa. Pendeta Pelatih Masrianus Semon seterusnya membaca Alkitab. Ini diikuti dengan penyampaian kesaksian firman Tuhan oleh Pendeta Lemuel Leong. Inti pati khutbah beliau adalah menjadi hamba Tuhan yang setia dan bijaksana (Matius 24:45). Selepas itu, Pendeta Lemuel Leong melaksanakan pengurapan. Saudara yang diurapi bernama Aljakilee Biou, dari Gereja Sungai Apih. Beliau telah diurapi dengan nama kudus Diaken Henokh. Sesi pengenalan dipimpin oleh Pendeta Yeremia Sungkit. Upacara diakhiri dengan nyanyian kidung 289 dan doa.

Injil disebarkan ke kampung ini pada tahun 1960. Disebabkan ketekunan iman jemaah dan kepimpinan yang berterusan berdasarkan kebenaran Firman Tuhan, sidang jemaah 2022 telah memutuskan untuk menambahkan bilangan diaken bagi menggembala jemaah yang semakin ramai di kampung tersebut. Syukur atas kasih karunia Tuhan, penambahan pekerja suci bagi gereja tempatan dapat memperkuat kerja-kerja penggembalaan dan penginjilan di gereja tersebut serta kawasan setempat.

Matius 9:37-38, “Maka kata-Nya kepada murid-murid-Nya: ‘Tuaian memang banyak, tetapi pekerja sedikit. Karena itu mintalah kepada tuan yang empunya tuaian, supaya Ia mengirimkan pekerja-pekerja untuk tuaian itu.’ ”

Semoga kasih, rahmat dan damai sejahtera Tuhan menyertai kita semua. Haleluya, amin.