AnugerahNya yang berlimpah-limpah

November 3, 2024 Off By admin

Saudari Chang Lee Kyun, Gereja Yesus Benar Bintulu, Sarawak, Malaysia

Dalam nama Tuhan Yesus, saya ingin memberi kesaksian tentang bagaimana dengan rahmat Tuhan, kanser saya telah disembuhkan.

Saya adalah Saudari Chang Lee Kyun dan kini (2024) menetap di Bintulu, sebuah bandar pesisir di negeri Sarawak, Malaysia.

Seawal bulan June 2022, saya menyedari terdapat satu ketulan di payudara kiri saya, dan saya mengesyaki ini pasti adalah simptom kanser payudara.

Namun, saya tidak pergi berjumpa dengan mana-mana doktor untuk pemeriksaan kerana ini bukan sesuatu yang saya mahu hadapi.

Namun, selepas setahun kemudian dan setelah mendapat nasihat serta dorongan daripada Puan Pendeta dan Diaken, barulah saya mengambil langkah untuk pergi ke Hospital Bintulu pada November 2023. Ketika itu, doktor melakukan imbasan mamogram dan beberapa ujian lain. Hasilnya, doktor menjelaskan bahawa kanser telah dikesan di bahagian payudara, paru-paru, dan kelenjar limfa. Pada waktu itu, saya tidak merasakan sebarang masalah di paru-paru atau kelenjar limfa.

Doktor kemudian memaklumkan bahawa saya perlu menjalani imbasan CT untuk memastikan sama ada kanser telah merebak ke bahagian tulang. Oleh kerana Hospital Bintulu tidak mempunyai alat CT Scan, saya perlu ke Hospital Kuching untuk menjalani imbasan tersebut. Buat sementara waktu, doktor telah mengambil sampel di bahagian payudara untuk biopsi.

Semasa lawatan ke Hospital Kuching, imbasan CT yang sangat teliti telah dijalankan. Saya masih ingat dengan jelas bahawa prosedur ini mengambil masa lebih daripada satu jam.

Selepas prosedur tersebut, disahkan bahawa kanser telah merebak ke beberapa bahagian tulang saya.

Pada 18 Disember 2023, doktor mengesahkan bahawa situasi saya dianggap sebagai pesakit kanser tahap 4. Diagnosis doktor boleh diringkaskan seperti yang dinyatakan dalam nota doktor yang disertakan di bawah:

  1. Karsinoma lobular invasif payudara
  2. Kanser tulang
  3. Kanser limfoma (nodus limfa)

4. Kanser paru-paru

Saya teringat perasaan sangat gelisah dan hilang arah ketika itu. Namun, pada masa yang sama, saya mula menghubungi saudara seiman di gereja kita di Sabah dan Sarawak untuk berdoa bagi keadaan saya, dan dari situ saya menerima banyak kata-kata dorongan, kasih, dan penghiburan.

Menjelang bulan Mac 2024, berat badan saya telah turun daripada 76kg kepada hanya 58kg, seperti yang ditunjukkan dalam foto ini bersama anak saudara saya.

Pada bulan yang sama, saya sekali lagi dinasihatkan untuk pergi ke Hospital Kuching untuk menjalani imbasan CT yang lain bagi menentukan sama ada kanser telah merebak ke bahagian abdomen seperti kolon dan sebagainya. Syukur kepada Tuhan, hasil ujian menunjukkan keputusan negatif.

Semasa sesi doa penumpangan tangan pada 13 April 2024, iaitu hari pentahbisan Gereja Bintulu, saya merasakan kuasa Tuhan yang kuat namun menenangkan dan penuh kasih turun ke atas saya dan mengalir melalui diri saya dari kepala. Selepas doa tersebut, satu masalah berterusan pada lutut kiri saya, yang wujud sejak saya didiagnosis dengan kanser, telah disembuhkan secara ajaib. Pada saat itu, saya berasa sangat cergas dan segar.

Apabila saya kembali berjumpa dengan doktor pada Mei 2024, doktor memberitahu bahawa saya perlu menjalani kemoterapi di Hospital Kuching. Namun, setibanya di sana, doktor di Hospital Kuching terkejut melihat peningkatan kesihatan saya secara tiba-tiba dan memutuskan bahawa saya hanya perlu meneruskan pengambilan ubat, tanpa perlu menjalani kemoterapi. Saya sangat gembira dan berulang kali mengucapkan terima kasih serta memuliakan Tuhan di hadapan doktor tersebut.

Setelah kembali ke Bintulu dan menjalani sebulan rawatan ubat, doktor di Hospital Bintulu menyatakan bahawa kesihatan saya baik selepas memeriksa laporan darah saya.

Kini, October 2024, saya berada dalam keadaan sihat dan selera makan saya kembali normal. Berat badan saya juga telah pulih kepada 68.5 kg.

Syukur kepada Tuhan atas rahmat dan belas kasihan-Nya. Ini juga merupakan waktu yang sesuai untuk saya merenung dan berdoa bagi mencari kehendak dan arahan Tuhan untuk saya.

Segala kemuliaan hanya bagi Tuhan Yesus! Amin!