Gereja Tampulan

 

1. PENGENALAN

Saudara Munsin Guntak

Kampung Tampulan terletak kira-kira 6.5 kilometer dari Pekan Telipok yang mana bentuk muka buminya adalah berbukit-bukau. Menurut sumber iaitu pemercaya generasi kedua (Saudari Seriah Munsin @ Gimpoi, Saudara Sindi Angkeelamai dan Saudara Miol Munsin) yang sempat mendengar kesaksian daripada generasi pertama, injil telah mulai bertapak di kampung ini disekitar awal tahun 1950an.

Pada masa itu Gereja Yesus Benar dikenali sebagai “Ugama Isa Yang Benar”. Tokoh utama yang membawa Injil ke kampung ini adalah bapa kepada Diaken Samuel Chin. Diaken Samuel Chin kemudiannya meneruskan usaha bapanya. Beliau merupakan seorang yang sangat gigih dan tidak mengenal penat lelah.

Antara benih pertama yang menerima Injil adalah saudara Munsin Guntak dan isterinya saudari Konsiang Sobinal, saudara Sombuling Soludung dan isterinya saudari Lintos Parang, saudara Angkeelamai Tungak dan isterinya saudari Selia Awang @ Tangon dan diikuti oleh hampir semua penduduk Kampung Tampulan.

Boleh dikatakan, dari tahun 1950an sehingga pertengahan tahun 1990an hampir semua pemercaya Gereja Yesus Benar Tampulan dibaptis di Gereja Berungis, Tuaran.

2. SAKSIAN

                                                                                                           Saudari Gimpoi Munsin @ Seriah

Menurut saudari Gimpoi Munsin @ Seriah, bapanya iaitu saudara Munsin Guntak ketika masih bujang mempunyai minat untuk mengetahui ajaran mana-mana agama Kristian. Setelah berkahwin, beliau berpeluang mendengar Injil daripada bapa kepada Diaken Samuel Chin dan telah membuat keputusan untuk meminta diri dibaptis kerana merasakan ajaran Gereja Yesus Benar masuk di dalam hatinya.

Beliau dibaptis di Gereja Tuaran disekitar tahun 1953. Pada ketika itu isterinya, Konsiang Sobinal merupakan seorang bobolian (Bomoh). Anak pertama mereka iaitu saudari Gimpoi sendiri lahir pada tahun 1952 dalam keadaan yang cacat, iaitu tidak boleh berjalan, bercakap dan juga tidak dapat melihat sehingga berumur tiga tahun.

Bimbang dengan keadaan ini saudari Konsiang telah berjumpa dengan bobolian yang lebih senior bernama Yonsuid dari Kampung Maruah, Telipok, untuk meminta petunjuk penyembuhan. Suatu hal yang mengherankan bomoh ini mengatakan kepada saudari Konsiang penyakit anaknya itu tidak dapat diubati kerana suaminya seorang Kristian, dan hanya akan sembuh jika dia mengikuti agama suaminya.

Di samping hal ini, dorongan suami juga akhirnya membuatkan beliau mengambil keputusan untuk meminta diri dibaptis disekitar tahun 1955. Selepas itu secara beransur-ansur kecacatan saudari Gimpoi beransur pulih dan akhirnya sembuh menjadi kanak-kanak yang normal.

Hal ini telah tersebar kepada pengetahuan penduduk Kampung Tampulan dan Saudara Sambuling juga turut terbuka hati untuk memohon diri dibaptis bersama dengan isterinya. Ini kerana selama mereka berkahwin mereka sering kematian anak. Setelah percaya dan dibaptis masalah kematian anak yang mereka alami selama ini berakhir.

Seorang lagi penduduk kampung yang mengalami masalah yang sama ialah saudara Angkeelamai dan isterinya Selia Awang @ Tangon, dimana sejak berkahwin mengalami kematian dua orang anak secara berturut-turut. Hal ini telah mendorong pasangan ini untuk memohon diri dibaptis dan akhirnya barulah anak mereka hidup.

Daripada mujizat ini, Gereja Yesus Benar mula dikenali oleh penduduk Kampung Tampulan dan kampung-kampung berdekatan seperti Kampung Tamalang. Di Kampung Tamalang, saudara Gankat yang sakit telah disembuhkan setelah dibaptis dan telah mendorong ahli keluarganya memohon untuk dibaptis.

Di sekitar pertengahan tahun 1950an dan 1970an hampir kesemua penduduk Kampung Tampulan telah percaya dan dibaptis.

3. PENGGEMBALAAN

Penggembalaan merupakan masalah utama pada peringkat awal gereja di Kampung Tampulan. Masalah perhubungan, ketiadaan bangunan gereja, jarak antara rumah seiman yang berselerak dan keadaan kampung yang masih dalam keadaan hutan memberi cabaran kepada pekerja suci ketika itu. Walau bagaimanapun ini tidak menghalang Diaken Samuel Chin untuk terus melakukan penggembalaan dan penginjilan hanya dengan berjalan kaki dari Pekan Telipok. Setiap kali Diaken Samuel melawat di Kampung Tampulan, beliau sering menginap di rumah saudara Munsin.

Gereja paling berdekatan dengan Kampung Tampulan pada ketika itu hanyalah Gereja Berungis, Tuaran. Bagi menghadiri berkebaktian, pemercaya harus berjalan kaki sehingga Kampung Timbok iaitu lebih kurang 2 batu sebelum menaiki kereta ke Pekan Telipok. Jika terlambat akan ditinggalkan kereta dan terpaksa berjalan 2 batu lagi untuk sampai ke Pekan Telipok.

Setiba di Pekan Telipok, barulah mereka akan menaiki bas TUT ke Gereja Berungis. Keadaan ini berlaku sehingga tahun 1960an. Disebabkan permasalahan ini maka timbul inisiatif pemimpin Ibu Gereja dengan usahasama gereja Berungis untuk mencari rumah doa di kawasan pekan Telipok. Akhirnya sebuah rumah doa ditemui yang juga milik seorang seiman berbangsa Cina yang dikenali sebagai Ah Kie.

Sekitar awal tahun 1970an Rumah Doa di Pekan Telipok telah ditutup kerana dipercayai saudara Ah Kie telah menjual tanah beserta rumah tersebut. Untuk meneruskan kebaktian, saudara Sambuling telah mempersembahkan rumahnya di Kampung Tampulan sebagai Rumah Doa yang pada mulanya disebut sebagai Gereja Tumpangan.

Pada dasarnya ini memudahkan jemaat Kampung Tampulan dan Tamalang untuk berkebaktian kerana tidak lagi perlu berjalan jauh. Menurut sesetengah sumber, sebenarnya injil telah sampai lebih awal di Kampung Tamalang sebelum Kampung Tampulan.

Namun masalah kekurangan pekerja suci untuk membuat penggembalaan menyebabkan ramai iman pemercaya yang menjadi suam-suam kuku dan akhirnya murtad. Kebaktian dirumah saudara Sambuling berterusan sehingga sekitar tahun 1995.

Ibu Gereja juga berusaha menyemai benih kebenaran dalam kalangan kanak-kanak pada ketika itu dengan mengutus guru pendidikan agama. Antaranya ialah sepasang suami isteri iaitu saudara Sue Kong. Pada ketika itu mereka menginap dan mengadakan kelas pendidikan agama untuk kanak-kanak di rumah saudara Munsin.

Sebahagian kanak-kanak juga turut tidur di rumah saudara Munsin disebabkan jarak perjalanan yang jauh. Kelas tersebut hanya dapat diadakan sebanyak dua hingga tiga kali setahun. Selepas beberapa tahun, kelas tersebut terhenti kerana dikhabarkan bahawa guru tersebut diperlukan di daerah lain. Kelas pendidikan agama sehingga akhir 1980 adalah sangat kurang disebabkan kekurangan tenaga pengajar.
Hanya selepas bangunan gereja siap didirikan barulah kelas dapat diadakan pada setiap kebaktian Sabat. Guru-guru adalah terdiri daripada beberapa orang belia Tampulan (sukarela) dan adakalanya guru pendidikan sepenuh masa yang diutus oleh Sub Zon.

Pada sekitar tahun 1970an, selain Diaken Samuel Chin, pekerja suci yang melakukan penggembalaan di Gereja Yesus Benar Tampulan adalah Pendeta Stephen Tham dan juga Pendeta Thomas Kam.

Sebelum tahun 2000, Gereja Yesus Benar Tampulan di letak di bawah subzon Tinuhan. Pada sekitar awal 1980an antara pekerja suci yang diutus ke Kampung Tampulan ialah Pendeta Timotius dan Pendeta Titus. Manakala selepas pertengahan tahun 1980an, Pendeta Yosua dan Pendeta Kaleb telah diutus untuk meneruskan kerja-kerja penggembalaan.

Kebaktian Kebangunan Rohani Kemah Doa Tampulan yang pertama diadakan disekitar awal tahun 1980an.

Pada pertengahan tahun 1980an banyak usaha dilakukan bagi mencari dan menginjil semula seiman yang telah menjadi pasif, namun tindak balas mereka sangat mendukacitakan.
Keluarga seiman yang kekal sehingga kini hanyalah anak-anak daripada saudara Munsin yang terdiri daripada 6 orang adik-beradik (Keluarga Gimpoi, Asanah, Sipun, Miol, Yosima dan Deloris), keluarga saudara Sambuling hanya satu keluarga (Keluarga Maikol) dan keluarga saudara Angkeelamai juga hanya satu keluarga (Keluarga Sindi).

4. PEMBINAAN GEREJA

Idea pembinaan gereja di Kampung Tampulan telah wujud disekitar 1976 dimana saudara Munsin telah bersetuju mempersembahkan tanah atas nama isterinya untuk tujuan tersebut. Saiz tapak gereja yang dicadangkan pada ketika itu adalah 20’ x 30’ dengan anggaran kos RM5, 000.00. Saiz dan anggaran kos ini dicadangkan oleh diaken Samuel Chin dan telah dipersetujui oleh Ibu Gereja. Disebabkan kekangan kewangan pada ketika itu, maka usaha itu tertangguh. Tambahan pula saudara Munsin telah berhijrah ke Membakut untuk mengusahakan tanah dan telah dipanggil Tuhan pada tahun 1984.

Usaha membina gereja kemudiannya diteruskan oleh saudara Sambuling dan saudara Miol dan Pendeta Timotius sebagai penasihat. Namun sebelum pembinaan gereja dimulakan, Penguasa Zon Kota Kinabalu, Diaken John Wong bersama dengan saudara K.C Yong dengan Saudara Rocky Soh Andu telah meninjau tapak yang dicadangkan.

Akhirnya tapak saiz tapak dimuktamadkan kepada 60’ x 80’ persegi. Sekitar tahun 1994 kerja pembinaan telah bermula dan siap sepenunya pada tahun 1996 dan ditahbis pada Jun 1996. Rekabentuk gereja yang kekal sehingga sekarang adalah hasil kreativiti mendiang saudara K. C Yong. Semasa pembinaan ramai di kalangan seiman yang turut menyumbangkan tenaga seperti saudara Miol, saudara Maikol dan saudara Sindi. Kemudahan gereja yang lain seperti dapur, bilik pendeta dan tandas kemudiannya telah dibina secara berperingkat oleh para seiman.

5. ORGANISASI GEREJA

Pada peringkat awal iaitu dari tahun 1950an hingga awal tahun 1990 tiada organisasi gereja yang jelas di kampung ini. Salah satu sebab utamanya ialah tiada bangunan gereja dan kekurangan pengetahuan. Yang wujud hanyalah Ahli Jawatankuasa Kecil yang telah dicadang oleh Pendeta Timotius pada tahun 1980an.

Perjalanan kebakitan Sabat pada tahun 1970an dipimpin oleh saudara Munsin. Namun pada penghujung tahun 1970an beliau telah berhijrah ke Daerah Membakut maka, kebaktian Sabat seterusnya dipimpin oleh saudara Sambuling sehingga awal 1990an. Selain itu saudara Miol selepas kembali dari Brunei sering diminta oleh saudara Sambuling untuk memimpin kebaktian.

Selepas terbinanya gereja pada tahun 1996 Ahli Jawatankuasa Gereja yang pertama telah dibentuk seperti berikut:

Nama Jawatan
1 Saudara Miol Munsin Penguasa
2 Saudara Maikol Sambuling Timbalan Penguasa
3 Saudara Sindi Angkeelamai Setiausaha
4 Saudari Delores Munsin Timbalan setiausaha
5 Saudara Sambuling Soludang Bendahari
6 Saudari Suria Pagayan AJKK
7 Saudari Prisca Lukas AJKK
8 Saudari Nuria Kurus AJKK

Saudara Miol Munsin merupakan penguasa gereja yang pertama sehingga tahun 2000. Selepas itu dari tahun 2000 hinggalah sekarang penguasa gereja bersilih ganti antara saudara Jerry Kitingon dan saudara Geros@Rejo Gontak.

Sehingga kini belum ada seiman yang diurap kedalam jabatan kudus di gereja ini. Diaken Musa yang merupakan diaken yang pertama di gereja ini diurap di gereja Lahad Datu pada 14hb Julai 2007. Tidak lama selepas pengurapan, beliau telah ditukarkan tugas ke Kota Kinabalu. Sejak itu aktiviti belia semakin tersusun dengan adanya Ahli Jawatankuasa Belia dan Unit Pendidikan Agama. Selain itu kumpulan koir belia Tampulan juga telah dibentuk yang kini dikenali sebagai Koir Ofel.

Diaken Musa Rosiki