Gereja Tamparuli

Gereja Tamparuli bertempat di sebuah pekan kecil dengan jarak 37 kilometer dari utara bandar Kota Kinabalu. Separuh daripada pemercaya di sini berbangsa Cina dan separuh lagi berbangsa Kadazan Dusun.

Pemercaya awal Gereja Tamparuli menerima firman keselamatan gereja benar yang disampaikan oleh saudara Chin Qin Quan (Dn. John Chin) di Tuaran sebelum Perang Dunia Kedua dan menghadiri kebaktian di Gereja Tuaran. Selepas pendudukan Jepun di Sabah, para pemercaya menghadapi kesulitan
untuk memegang hari Sabat di Gereja Tuaran.

Bermula pada 28 Disember 1940, mereka mula memegang hari Sabat di rumah saudara Chong Tshun Yit di Kampung Manggaladoi. Selain Dn. Peter Kwong yang menguruskan hal ehwal gereja, Dn. Titus Yapp dari Labuan turut membantu.

Pada suatu hari, 18 orang pemercaya berkumpul dan mengadakan kebaktian rumah pada hari Jumaat. Ketika mereka berdoa, tiba-tiba askar Jepun datang dan menangkap 17 orang pemercaya tersebut. Saudara Chong Tshun Yit sahaja yang tidak ditangkap kerana usia yang telah lanjut. 17 orang pemercaya tersebut dan orang-orang kampung yang ditangkap dibawa ke pusat tahanan Tuaran. Mereka diikat pada malam tersebut untuk dibicarakan pada keesokan harinya.

Pada malam tersebut, 17 orang pemercaya tersebut berdoa di pusat tahanan. Saudara Chong Zun Yi juga pergi ke atas bukit yang berhadapan dengan gereja sekarang dan berdoa untuk keselamatan para pemercaya. Selepas perbicaraan keesokan harinya, syukur kepada Tuhan, 17 orang pemercaya tersebut semuanya dilepaskan. Mereka hanya menghadapi sedikit kesakitan fizikal. Tuhan memberkati mereka dan mereka pulang ke Tamparuli dalam keadaan yang selamat. Selepas itu, pemercaya tempatan lebih giat melayani Tuhan.

Pada tahun 1942, para pemercaya berpindah ke rumah Dn. Peter Kwong di Kampung Bontoi (jarak kira-kira setengah kilometer dari pekan Tamparuli) dan menjadikannya sebagai khemah doa. Hal ehwal dipengerusikan oleh Dn. Peter Kwong dan kerja suci turut dibantu oleh saudara Yong Tze Liam
(kemudiannya diurap menjadi Dn. Titus Yong), saudara Chong Tshun Yit, saudara Chong Tet Kong dan saudara Tham Sen Yu.

Pada awal tahun 1946, Dn. Peter Kwong mempersembahkan sebidang tanah dengan keluasan kira-kira satu per lima hektar kepada gereja. Pihak gereja membina sebuah gereja sementara di atas tanah tersebut dengan menggunakan bambu dan daun nipah. Setelah Dn. Peter Kwong beristirehat di dalam Tuhan, hal-ehwal diambil-alih oleh saudara Yong Tze Liam (mendiang Dn. Titus Yong).

Pada tahun 1948, gereja Tamparuli menganjurkan Kebaktian Kebangunan Rohani kali pertama.

Pada awal tahun 60-an, bilangan pemercaya semakin bertambah. Walaupun gereja sedia ada telah dibina dan diubahsuai sebanyak lima kali, namun ia masih tidak dapat menampung bilangan pemercaya yang menghadiri kebaktian hari Sabat. Oleh itu, pihak gereja merancang untuk membina semula bangunan gereja.

Pada awal tahun 1962, bangunan gereja konkrit yang dapat menampung kira-kira dua ratus orang siap dibina dan upacara pentahbisan gereja diadakan pada 13hb April tahun yang sama.

Pada tahun 1965, Ibu Gereja Taiwan mengutus Dn. John Yang dan Dn. Lim Feng Sheng ke Sabah untuk membantu kerja suci. Mereka membangkitkan semangat para pemercaya untuk menjadi giat serta mendorong dan membantu gereja untuk menubuhkan kelas pendidikan agama kanak-kanak. Bilik darjah dibina pada tahun yang sama.

Pada awal tahun 1966, kelas pendidikan agama untuk kelas belia dan kelas kanak-kanak diadakan secara rasminya.

Pada awal tahun 1978, kerajaan membina sebatang jalan umum yang menuju ke Ranau. Sebelum adanya jalan tersebut, terdapat sebidang tanah sawah padi di antara jalan umum dengan gereja. Pemercaya perlu berjalan melalui tapak sawah padi sejauh kira-kira enam puluh meter untuk sampai ke gereja. Tanah sawah padi tersebut dimiliki oleh orang beragama lain. Pihak gereja perlu membayar tol kepada beliau setiap bulan. Projek pembinaan jalan ini berada di tengah-tengah tanah sawah padi tersebut. Sejak itu, kenderaan para pemercaya dapat dibawa terus sehingga ke gereja.

Pada tahun 1980, bilik darjah untuk kelas pendidikan agama sudah tidak dapat menampung bilangan kanak-kanak yang menghadiri kelas. Oleh itu, gereja membuat keputusan untuk merobohkan bilik darjah sedia ada bagi membina semula sebuah bangunan dua tingkat yang merangkumi asrama dan bilik darjah.
Pada tahun tersebut juga, para pemercaya merasakan bahawa bangunan gereja sedia ada telah usang. Oleh itu, mereka sepakat bersetuju mewujudkan jawatankuasa pembinaan untuk mengumpul dana membina semula bangunan gereja. Dn. Titus Yong menjadi pengerusi jawatankuasa pembinaan tersebut dan menggerakkan rancangan penggumpulan dana. Pemercaya Gereja Tamparuli kebanyakannya terdiri daripada keluarga golongan pertengahan dan ke bawah. Oleh itu, proses pengumpulan dana pembinaan gereja adalah agak perlahan. Namun, di bawah pimpinan dan berkat Tuhan, para pemercaya tidak berhenti-henti memberikan persembahan secara giat berdasarkan kemampuan mereka.

Pada tahun 1990, Dn. Titus Yong telah berusia 88 tahun dan beliau sudah tidak sesuai untuk memegang jawatan di dalam gereja kerana usia yang lanjut. Jawatan pengerusi jawatankuasa pembinaan dan penguasa gereja diambil-alih oleh saudara Wong Yin En. Pada pertengahan tahun selanjutnya, Ibu Gereja Sabah mengutus beberapa orang diaken dari gereja Kota Kinabalu untuk bergilir-gilir membantu kerja memimpin kebaktian hari Sabat di gereja Tamparuli. Dn. Micah Choo juga menjadi penasihat jawatankuasa pembinaan.

Pada tahun 1993, selepas draf lakaran gereja disiapkan, jawatankuasa eksekutif dan para pemercaya bermesyuarat dan meluluskan agenda draf lakaran gereja tersebut.

Pada bulan Mac tahun 1994, pelan bangunan yang rasmi akhirnya disiapkan. Pada bulan Ogos tahun yang sama, projek membina semula gereja dimulakan. Pada masa yang sama, bangunan gereja dan asrama sedia ada juga dirobohkan. Setelah bangunan gereja dirobohkan, seluruh umat pemercaya beralih sementara ke Gereja Tuaran untuk menghadiri kebaktian.

Syukur atas pimpinan Tuhan, walaupun pelbagai kesukaran dan cabaran dihadapi dalam proses pembinaan bangunan gereja tersebut, namun dengan berkat dan pimpinan Tuhan, ditambah lagi dengan doa para pemercaya yang bersatu hati, semua kesulitan dapat diatasi dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Ketika projek pembinaan bangunan gereja dimulakan, hanya terdapat seratus empat puluh ribu ringgit Malaysia dalam dana pembinaan. Namun apabila bangunan gereja dan asrama siap dibina, pihak gereja tidak berhutang.
Melalui hal ini para pemercaya dapat merasakan dengan sedalam-dalamnya anugerah Tuhan menyediakan. Pembinaan bangunan gereja dan asrama telah mengambil masa hampir dua tahun setengah.
Pada 07 Februari 1997, bersamaan dengan hari pertama Tahun Baru Cina, para pemercaya mula mengadakan kebaktian beribadah kepada Tuhan dalam bangunan gereja yang baru. Oleh sebab terdapat sedikit kerja pengubahsuaian yang belum diselesaikan, maka hanya kebaktian hari Sabat dan kelas
pendidikan agama hari Ahad yang dijalankan. Kebaktian malam hari Rabu dan Jumaat hanya dijalankan semula pada bulan Mei. Pada 22hb November tahun yang sama, bangunan gereja ini ditahbiskan secara rasminya untuk kegunaan Tuhan.

Pada tahun 2000, Gereja Tamparuli memulakan sesi doa pagi pada setiap hari Sabat dari jam 7am sehingga 8am. Pada tanggal 11 November tahun yang sama, saudara Wong Ren En diurap menjadi Dn. Eden Wong. Pada tahun 2006, saudara Sumil Galais pula diurap menjadi Dn. Semaya.

Pada tanggal 06 Januari 2007, kebaktian sesi doa pagi hari Sabat yang diadakan dari jam 7am sehingga jam 8am diubah menjadi kebaktian Sabat sesi pertama. Kelas pendidikan agama diadakan pada jam 9am sehingga jam 12pm (sebelum itu diadakan pada hari Ahad). Kebaktian Sabat sesi kedua pula dijalankan pada jam 2pm sehingga jam 3pm. Ini membolehkan para pemercaya dan kanak-kanak memegang hari Sabat dengan sepenuhnya dan menikmati berkat hari Sabat.

Setelah sepuluh tahun digunakan, pada tahun 2007, gereja sekali lagi menjalankan pengubahsuaian dari aspek hiasan dalaman, memasang kemudahan penghawa dingin, serta mengecat semula gereja dan asrama.

Sehingga kini, Gereja Tamparuli mempunyai bilangan pemercaya seramai 260 orang. Kelas pendidikan agama terbahagi kepada 11 kelas. Empat kumpulan koir pula ialah kumpulan koir Gandum, kumpulan koir Merpati, kumpulan koir Sharon dan kumpulan koir persekutuan Betlehem.

Akhir sekali, kiranya Roh Tuhan tidak berhenti-henti dicurahkan ke atas setiap pemercaya di gereja Tamparuli agar jiwa rohani kami dapat berkembang maju, mendapat kekuatan semula untuk lebih giat melayani Tuhan dan menjunjung tinggi nama Tuhan.