Gereja Labuan

Gereja Labuan

Pengenalan
Waktu Kebaktian | GPS
Pengenalan

Pulau Labuan asalnya adalah milik negara Brunei. Pada tahun 1846, Brunei telah memberikan pulau yang tidak berpenghuni itu kepada British sebagai langkah membasmi kegiatan lanun yang berleluasa. Pihak British telah menamakan pulau tersebut sebagai Pulau Victoria.

Pada tahun 1890, pulau tersebut telah bergabung dengan Kepulauan Borneo Utara.

Pada tahun 1963, Pulau Labuan telah bebas daripada jajahan British dan menyertai Malaysia bersama Sabah.

Pada 16 April 1984, Pulau Labuan secara rasminya menjadi Wilayah Persekutuan Labuan dan seterusnya merupakan pelabuhan bebas serta pusat kewangan antarabangsa di luar pesisiran pantai pada tahun 1990. “Labuan” dalam bahasa Melayu membawa maksud “pelabuhan”.

Pulau Labuan mempunyai keluasan 98 km 2 dan berjarak 10 km dari pesisiran pantai Sabah. Pada tahun 2016, Labuan mempunyai populasi manusia seramai 97,800 orang dan kebanyakannya terdiri daripada kaum bumiputera Melayu, Kadazan Dusun dan Pawor. Kaum bukan bumiputera
hanya terdiri daripada 13 % yang terdiri daripada kaum Cina, India dan lain-lain.

Sejarah Gereja Labuan bermula pada awal tahun 1930 semasa Sdra Yap Kong Fui dari Sandakan dipindahkan untuk bekerja di Harrison cawangan Labuan. Pada pertengahan bulan September tahun yang sama, Dn Phillip Tyan dari Gereja Beaufort telah membuat lawatan khas ke Labuan untuk menziarahi Sdra Yap dan mengurapnya sebagai Dn Titus Yap.

Pada 6 Desember 1930, satu Kemah Doa telah didirikan di rumah Dn Titus Yap di Membedai. Pemercaya pada masa itu terdiri daipada Dn Titus Yap, Sdra Yap Xian Onn serta Sdri Wong En Lan iaitu seramai kira-kira 20 orang. Dn Phillip Tyan juga kerap melawat Labuan untuk membantu kerja suci di sana.
Kebaktian Kebangunan Rohani kali pertama telah diadakan pada tahun 1935. Pada tahun berikutnya, Dn Simon Kam telah dilantik sebagai Penguasa Gereja dan Sdri Wong En Lan telah dilantik sebagai bendahari. Syukur kepada Tuhan, Gereja Labuan telah berjaya ditubuhkan.

Semasa Perang Dunia Kedua, bangunan gereja telah dirampas dan digunakan oleh tentera Jepun menyebabkan kebaktian tidak dapat diteruskan. Pada tahun 1945 hingga 1950, kebaktian masih tidak dapat diteruskan walaupun perang sudah berlalu. Ini disebabkan bangunan gereja telah dirosakkan dan pemercaya bertaburan di merata tempat.

Pada awal tahun 1950an, Ibu Gereja Sabah telah mengutuskan Dn John Chin dan Dn Titus Yong ke Labuan untuk mengadakan Persidangan Pemercaya dan memulakan semula kebaktian keluarga dengan segera. Pada masa yang sama, Sdra Tsen Chi Henn telah menyerahkan wang ganti rugi gereja lama daripada kerajaan tempatan sebanyak $ 300. Dengan wang tersebut, Dn Simon Kam telah membeli sebidang tanah yang berjarak 5km dari bandar untuk tujuan pembinaan bangunan gereja yang baharu.

Pada tahun 1956, bangunan gereja baharu telah berjaya disiapkan dengan bantuan Sdra Chung Chao Lung dari Beaufort dan Sdra Vun Lin San dari Tuaran. Sdra Chung menyumbang kayu-kayan manakala Sdra Vun menyumbang kepakaran beliau. Gereja baharu tersebut kemudian ditahbiskan sempena Kebaktian Kebangunan Rohani. Jumlah pemercaya pada masa tersebut adalah seramai 30 orang.

Pada tahun 1964, Ibu Gereja Taiwan mengutuskan Dn John Yang dan Dn Lin Fong Shen untuk membantu kerja suci di Sabah. Mereka juga telah melawat Gereja Labuan dan mengurap Sdra Wong Nyap Thau sebagai Dn David Wong pada hari ketiga Kebaktian Kebangunan Rohani.

Pada bulan Desember 1967, Dn David Wong sekeluarga berpindah ke Kota Kinabalu. Kerja suci di Labuan diteruskan oleh Dn Simon Kam.

Pada malam 25 Desember 1974, bangunan gereja telah hangus dijilat api di mana punca kebakaran tidak diketahui. Selepas itu, tempat kebaktian Sabat telah diadakan di rumah Sdra Chia Thien Soong. Sdra Chia kemudian menderma sebidang tanah seluas 0.08 Ha berjarak 8km dari bandar untuk mendirikan gereja yang baharu. Mesyuarat dengan sebulat suara bersetuju menjual tanah yang asal dan mengutip derma untuk dijadikan dana pembinaan gereja baharu.

Pada 31 Desember 1982, bangunan gereja dua tingkat berhawa dingin dengan muatan 100 orang telah siap dibina. Upacara pentahbisan gereja telah
diadakan pada 30 April hingga 2 Mei 1983 sempena Kebaktian Kebangunan Rohani.

Pada 6 November 1984, hal ehwal gereja diuruskan oleh Sdra Yap Yin Fung dan Sdra Kam Kim Pon setelah Dn Simon Kam dipanggil kembali ke pangkuan Tuhan. Semenjak itu, Gereja Labuan tidak mempunyai diaken untuk mengendalikan sakramen kudus selama 16 tahun. Semua sakramen kudus dilakukan oleh pendeta yang datang mengembala Gereja Labuan.

Pada 1 Julai 2000, Sdra Kam Kim Pon telah diurap sebagai Dn Joses Kam.

Dalam jangka masa ini, bilangan pemercaya turut bertambah dengan adanya beberapa keluarga bumiputera yang berpindah dari Sabah ke Labuan untuk bekerja. Pulau ini juga pesat membangun dengan tertubuhnya dua institusi pengajian tinggi iaitu cawangan UMS dan Kolej Matrikulasi. Para graduan yang merupakan pemercaya dari kedua-dua institusi ini terus giat melayani Tuhan di Gereja Labuan selepas tamat pengajian.

Pada awal tahun 2003, kerajaan dalam pelan perancangan pembangunan di Labuan merancang membina laluan jalan raya dua hala. Pihak gereja mula menubuhkan dana pembinaan gereja baharu kerana bimbang rancangan kerajaan bakal menjejaskan kedudukan gereja pada masa itu.
Tambahan pula, keluasan tanah yang tinggal tidak cukup untuk membina sebuah gereja yang baharu. Syukur kepada Tuhan, Sdri Chia Way Hiong (anak kepada Sdra Chia Thien Soong) dengan ikhlas menderma sebidang tanah bersebelahan dengan gereja miliknya kepada pihak gereja. Maka, masalah kekurangan tanah akhirnya dapat diatasi.

Walaupun masalah tanah telah diatasi, namun pihak gereja masih berhadapan dengan cabaran yang seterusnya. Pada masa itu, anggaran perbelanjaan untuk membina sebuah gereja yang baharu bakal menelan belanja banyak, namun dana pembangunan gereja masih kekurangan wang yang banyak. Semasa pemercaya mengkhuatiri hal tersebut, Tuhan yang Maha Kuasa telah menunjukkan jalan penyelesaian.

Pada 6 Mac 2006, kerajaan secara rasminya menyerahkan surat kepada gereja dan menyatakan bahawa 50 % daripada tanah gereja akan diambil. Mesyuarat Exco Gereja Labuan memutuskan untuk menyerahkan perihal ini kepada Penatua Micah Choo untuk mewakili gereja berunding dengan pihak kerajaan. Akhirnya, kerajaan bersetuju membayar RM 210,000 sebagai ganti rugi.
Pada tahun yang sama, Penatua Micah Choo, Dn Peter Pang dan Dn Andrew Wong datang ke Gereja Labuan untuk menandatangani kontrak dan melantik Dn Andrew Wong sebagai kontraktor pembinaan gereja.

Gereja Labuan telah meminjam daripada Yayasan Kelimpahan ibu gereja dan dana selebihnya datang daripada derma pemercaya tempatan dan gereja lain serta derma daripada seiman luar negara. Kerja pembinaan gereja berjalan dengan lancar dengan adanya dana yang mencukupi. Oleh sebab bangunan gereja pada masa itu telah diambil oleh kerajaan dan gereja baharu masih dalam pembinaan, maka pemercaya mengadakan kebaktian di rumah Dn Joses Kam.

Dalam tempoh tersebut telah diadakan satu kali Kebaktian Kebangunan Rohani, Kebaktian Kesyukuran Sempena Ulang Tahun ke-80 dan KKR Murid-murid. Selepas dua tahun iaitu pada 12 Ogos 2008, pemercaya telah mengadakan kebaktian di gereja baharu buat julung kalinya. Bangunan gereja baharu tiga tingkat ini mempunyai kemudahan yang lengkap dan dapat memuatkan seramai 150 orang pemercaya.

Pada 5 hingga 7 September 2008, Sdri Chia Vui Lan telah diurap sebagai Diakenis Huldah Chia sempena Kebaktian Kebangunan Rohani kali pertama gereja baharu. Pada 3 hingga 6 September 2009, gereja telah mengadakan Kebaktian Kebangunan Rohani dan Upacara Pentahbisan Gereja.

Semasa Kebaktian Kebangunan Rohani pada 8 September 2012, Sdra Albert Kam Wei Kheong dan Sdra Billy Ng Chi Kong masing-masing diurap sebagai Dn Boaz Kam dan Dn Jachin Ng.

Pada tahun 2016, Gereja Labuan telah tergolong dalam Subzon Kota Kinabalu. Setiap bulan, Ibu Gereja Sabah mengutuskan pendeta ke Labuan untuk kerja pengembalaan. Semua kerja suci gereja dibantu oleh para belia serta mahasiswa-mahasiswi yang giat dalam Tuhan. Setakat ini, Gereja Labuan mempunyai tiga kumpulan koir, iaitu Koir Labuan, Koir Pendidikan Agama dan Koir Remaja.

Syukur kepada Tuhan, setakat ini bilangan pemercaya mencecah 223 orang yang terdiri daripada pemercaya tempatan, pemercaya dari Sabah / Sarawak yang datang bekerja serta pelajar IPTA di Labuan.

Kelas Pendidikan Agama aliran BM diadakan selepas Kebaktian Sabat hari Sabtu manakala Kelas Pendidikan Agama aliran BC diadakan pada pagi hari Ahad. Pendidikan Agama tahun 2016 mempunyai 9 kelas, 57 orang murid dan 16 orang guru.

Mohon kasih kurnia Bapa di syurga agar terus melindungi, membimbing serta memelihara jemaat Gereja Labuan agar kerja suci semakin berkembang demi kemuliaan nama Tuhan.

Waktu Kebaktian | GPS

Hari / MasaJenis Kebaktian
Aha / 8.00am Sesi Doa Pagi
Jum / 7.30pm - 8.30pmKebaktian Malam Sabat
Sab / 7.00am - 8.00amKebaktian Hari Sabat (1)
Sab / 2.00pm - 3.00pmKebaktian Hari Sabat (2)
GPS
5.339998, 115.233019