Gereja Inanam

Gereja Inanam

Dua puluh tahun yang lalu, kerja penubuhan Gereja Yesus Benar Inanam dimulakan oleh sekumpulan
penduduk setempat dan seiman yang bekerja di sana. Pada masa itu, proses pemilihan lokasi yang sesuai
untuk pembinaan gereja amat lambat kerana lokasi yang strategik di kawasan itu telah digunakan untuk
tujuan perniagaan dan perdagangan. Walau bagaimanapun, mereka masih mampu mencari sebuah rumah
kedai di tingkat ketiga. Namun, usul ini tidak diteruskan atas sebab-sebab tertentu.

Usul ini kemudian diutarakan semula pada tahun 1997. Faktor utama adalah kerana banyak pemercaya
tinggal atau bekerja di kawasan tersebut. Tambahan pula, lokasi tersebut sedang pesat dibangunkan
sebagai kawasan perdagangan dan ini menyenangkan pihak gereja mencari sebuah bangunan yang sesuai
untuk dijadikan sebagai bangunan gereja.

Gereja Yesus Benar Inanam mulai dibangunkan selepas usul tersebut diluluskan dengan rasmi. Pada masa
itu, pihak gereja menyewa satu unit bangunan yang beralamat Lot 14, Blok 55, Tingkat 3 di pusat
perdagangan Inanam. Bangunan tersebut jelas kelihatan dari Jalan Tuaran.

Syukur kepada Tuhan, Gereja Inanam telah mengadakan Kebaktian Sabat buat julung kalinya pada 8
Ogos 1998. Pendeta James Yap dan keluarga tinggal di Gereja Inanam untuk memudahkan urusan
pengendalian gereja.

Lokasi lama dari tahun 1998 hingga tahun 2003

 

Pada tahun 2002, pihak gereja mengambil keputusan untuk membeli dua unit bersebelahan di rumah
kedai tiga tingkat yang berdekatan dengan stesen bas Inanam sebagai banguan gereja yang kekal.

Alamat baharu gereja adalah seperti di bawah:
Block A,Lot 4 & 5,
2nd Floor, Inanam Business Centre, Phase 1.

Pembelian bangunan dan kerja pengubahsuaian dapat dijalankan atas bantuan kewangan ibu gereja
Sabah.

Pada 1 Mac 2003, Kebaktian Sabat pertama telah diadakan di gereja baharu. Sejak itu, Gereja Inanam
telah membuka satu lembaran baharu dalam sejarah. Upacara Pentahbisan telah dilaksanakan pada 16
April 2005, bangunan gereja dipersembahkan untuk kegunaan Tuhan secara rasmi.

Penubuhan Gereja Inanam adalah untuk menyahut seruan penguasa Zon KK pada masa itu:
melaksanakan pencawangan gereja demi menyebarkan Injil yang sempurna ke seluruh pelosok dunia
untuk menjulang tinggi dan memuliakan nama Tuhan.

Syukur kepada Tuhan, walaupun pada masa itu pelbagai rintangan dihadapi seperti masalah dari segi
pengurusan, kekurangan kewangan, kekurangan penginjil dan lain-lain; namun dengan iman yang murni
dan tekad untuk meluaskan kerajaan Tuhan, banyak cawangan gereja telah didirikan termasuk Gereja
Inanam.

Pada 11 April 2015, Gereja Inanam telahpun melangsungkan Kebaktian Kesyukuran ulang tahun ke-10
pentahbisan gereja.

Pada 30 Mei 2015, Gereja Inanam telah mengadakan Persidangan Pemercaya untuk membincangkan soal
pembelian unit di tingkat atas dan menambahkan Kebaktian Sabat sesi pagi memandangkan bilangan
pemercaya semakin meningkat dan gereja memerlukan satu ruang yang lebih luas demi perkembangan
gereja masa depan. Syukur kepada Tuhan, kedua-dua usul ini telahpun diluluskan. Jawatankuasa
Eksekutif Gereja Inanam mula mengumpulkan dana untuk membeli dua unit ini. Syukur kepada Tuhan,
rancangan ini telah mendapat sokongan daripada penguasa Sub Zon KK dan Zon Pantai Barat. Penguasa
Zon Pantai Barat telah memohon Ibu Gereja mengutuskan surat pekeliling kepada gereja tempatan
seluruh negeri untuk meminta derma daripada seiman.

Hasil daripada gereja-gereja tempatan dan seiman yang giat menderma serta pinjaman dari beberapa
gereja di KK, akhirnya Gereja Inanam berjaya mengumpul dana yang secukupnya untuk membeli dua
unit tersebut. Pada 26 April 2016, segala proses pemindahan hak milik telah selesai dan dua unit tersebut
telah menjadi hak milik gereja secara rasmi. Kerja-kerja pengubahsuaian masih diteruskan sehingga hari
ini dan diharap kerja tersebut dapat disiapkan untuk ditahbiskan kepada Tuhan. Dua unit baharu ini akan
digunakan sebagai pusat aktiviti, dewan makan, bilik mesyuarat dan dapur. Diharap para seiman dapat
menggunakan kemudahan gereja dengan optimal untuk berkumpul bersama dan bersemadi di dalam
anugerah Tuhan.